Panduan Perbelanjaan MAJLIS PERKAHWINAN

Buat anda yang bakal bergelar raja sehari pasti menginginkan hari bahagia yang bakal berlangsung agar menjadi detik yang paling ceria dan paling manis dalam hidup anda.  Oleh itu, persediaan untuk majlis perkahwinan anda perlu diatur dan dirancang dengan sebaik-baiknya agar ia berlangsung dengan gemilang. Namun demikian, untuk memilih pakej perkahwinan yang terbaik setiap bakal pengantin perlu bijak dalam menilai pakej yang dipilih, iaitu bagaimana untuk memilih dan apa yang hendak dipilih. Baiklah, secara mudahnya anda boleh mencuba untuk membuat beberapa perbandingan antara sebilangan pakej perkahwinan yang ditawarkan di pasaran. untuk membuat pilihan, anda perlu menitikberatkan kualiti serta kos yang diperlukan.

PERBELANJAAN DARI RM10,000 - RM15,500
Anda mementingkan kesederhanaan dalam mengeluarkan belanja untuk majlis perkahwinan anda. Adalah tidak berpadanan jika anda memperuntukkan sejumlah wang sebanyak ini untuk mengadakan majlis perkahwinan di hotel atau taman. Jangan pula anda rasa rendah diri kerana tidak mampu mengeluarkan bajet yang banyak. Biarpun jumlah yang dikeluarkan cukup minimum, anda masih boleh menjadikan perkahwinan anda ini yang paling indah buat anda dan pasangan anda, tidak lupa kepada kepada yang menghadiri majlis perkahwinan anda.

PERBELANJAAN SEBANYAK RM15,501 - RM25,500
Jumlah yang dikeluarkan adalah berpatutan untuk majlis perkahwinan di rumah. Jumlah ini tidak berpadanan jika dilakukan di hotel atau taman. Hal ini berlaku kerana jumlah tersebut masih belum mencukupi atau anda terpaksa membuat pinjaman daripada kaum keluarga, sanak-saudara atau rakan-rakan. Jangan risau, tentu sahaja anda boleh menceriakan hati pasangan anda dengan hanya membuat majlis di rumah kerana pelbagai perkara yang boleh didapati dari jumlah bajet sebanyak ini. Tentu sahaja apa yang anda idamkan atau impikan untuk majlis tersebut akan dapat anda penuhi.

PERBELANJAAN SEBANYAK RM25,501 - RM35,500
Jumlah yang akan dikeluarkan ini adalah harga maksimum untuk majlis di rumah. Tentu sahaja anda mampu menyediakan apa-apa yang anda inginkan untuk majlis perkahwinan anda ini. Apapun, jumlah ini masih boleh dikurangkan agar berpatutan dan beli perkara yang anda perlukan sahaja. Itu lebih menjimatkan. Jika diikutkan jumlah ini masih belum benar-benar cukup untuk melangsungkan perkahwinan di hotel. Pun begitu, jumlah ini membolehkan anda menyewa sebuah dewan sederhana di sesebuah hotel dengan jemputan yang terhad. Itupun jika anda berkeinginan untuk melangsungkannya di hotel.

PERBELANJAAN SEBANYAK RM35,501 - KE ATAS
Jumlah yang anda kelurkan ini agak keterlaluan untuk majlis perkahwinan di rumah. Mungkin anda memang berkemampuan untuk mengeluarkan sejumlah wang sebanyak ini, tetapi anda boleh mengurangkan kos tersebut agar wang yang selebihnya boleh digunakan untuk lain-lain perkara seperti membeli barangan dapur, membuka akaun untuk anak-anak dan pendidikan mereka, serta lain-lain perkara. Bagi yang ingin melangsungkan perkahwinan di hotel atau taman, jumlah inilah yang amat bersesuaian dengan majlis sedemikian. Tentu sahaja jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan banyak dan berpadanan dengan majlis perkahwinan anda itu nanti.

Comments