Rancang Bajet Perkahwinan Secara Bijak

Dalam merancang sesebuah perkahwinan, perkara pokok yang menjadi keutamaan ialah sumber kewangan. Bajet yang tinggi diperlukan bagi memastikan perjalanan majlis berlangsung dengan sempurna. Hal ini pasti menimbulkan sedikit bebanan buat bakal pengantin kerana terpaksa memperuntukan kewangan yang tinggi semata-mata bagi memenuhi keperluan majlis.

Dalam hal ini, anda dan pasangan perlu memainkan peranan penting dengan mewujudkan kerjasama dan sefahaman agar bajet perkahwinan anda tidak melebihi kemampuan anda berdua. Oleh itu, pastikan anda tahu bagaimana untuk mewujudkan bajet perkahwinan secara bijak. Panduan berikut mungkin boleh membantu:

1. PERBINCANGAN BERSAMA 
Hanya anda dan pasangan sahaja yang mengetahui tahap kemampuan kewangan masing-masing. Justeru, berbincanglah dengan pasangan mengenai perjalanan majlis seperti menetapkan lokasi, tema, pakaian, jemputan, makanan dan sebagainya. Pastikan setiap keputusan dipersetujui bersama. Antaranya:

i. Tema
Klasik, romantis, kontemporari, moden atau dalam taman. Jika memilih tema dalam taman, cuba kurangkan bajet dengan menggunakan persekitaran sedia ada seperti di kebun atau halaman rumah.
ii. Jemputan
Senaraikan jumlah dan siapa tetamu yang akan dijemput. Jika jemputan agak terbatas, utamakan keluarga, jiran dan sahabat rapat.
iii. Pakaian
Sesuaikan dengan tema dan lokasi. Pastikan pakaian sesuai dengan karakter dan selesa untuk digayakan sepanjang hari. Jika tidak mampu untuk membeli, lebih baik menyewa sahaja.
iv. Makanan
Bincang bersama keluarga sama ada memilih katering atau bergotong-royong untuk memasak. Jika memilih katering, minta saranan rakan yang pernah menggunakan khidmat katering bagi mengenalpasti katering yang tepat.

2. AGIHAN PERBELANJAAN
Dalam merancang bajet perkahwinan, anda tidak boleh bergantung kepada satu pihak sahaja. Sebaliknya, berikan agihan perbelanjaan dengan menyenaraikan siapa yang perlu mengeluarkan bajet bagi sesuatu perkara. Senaraikan setiap barangan hantaran, fotografi, cenderahati, kad jemputan, bunga telur, dan sebagainya.

3. TETAPKAN BAJET BAGI SETIAP PERBELANJAAN
Bagi menggelakkan anda berbelanja secara berlebihan, tetapkan dan catatkan bajet bagi setiap perbelanjaan anda. Misalnya, barangan hantaran (RM1,500) bagi setiap seorang, cincin pernikahan dan pertunangan (RM1,500), katering (RM10,000), andaman, pelamin dan fotografi (RM3,000), cenderahati dan bunga telur (RM1,000) dan duit kecemasan (RM1,000). Apabila bajet telah ditetapkan, pastikan barangan dan perkhidmatan yang dipilih tidak melebihi bajet yang ditetapkan.

4. DAPATKAN SEBUT HARGA
Jangan terlalu tergesa-gesa dalam memilih pihak pengurusan perkahwinan. Kunjungi beberapa butik perkahwinan atau katerer bagi memilih pakej yang bersesuaian dengan bajet anda. Dapatkan sebut harga daripada pembekal misalnya, kedai bunga, kedai fotografi, butik pengantin, katerer, kedai kad kahwin dan sebagainya.

5. BELI BARANG PERSIAPAN SECARA BERPERINGKAT
Jika anda telah memilih tarikh perkahwinan, rancanglah perbelanjaan dari awal. Misalnya, enam bulan sebelum majlis adalah lebih baik untuk anda membuat pembelian barangan hantaran/persiapan perkahwinan secara berperingkat. Contohnya, pada bulan pertama membeli barangan hantaran. Kemudian bulan seterusnya, membeli barang untuk cenderahati dan bunga telur. Dengan membuat perbelanjaan secara berperingkat ini, ia akan memudahkan anda merancang dan kurang merasai bebanan kewangan.

Oleh: Nurul Huda Zulkifli (Harmoni)

Comments